PERNIAGAAN.TERUS MEREDAH WALAU DALAM GELORA.

Siri dokumentari drama yang mengupas dan membahas isu-isu rakan kongsi dalam perniagaan bertaraf syarikat 'Sdn. Bhd.', hal ehwal korporat dan membesarkan perniagaan.

CERITA

Drama Dokumentari (Docudrama) "BAHTERA KORPORAT - Berjalan Dalam Gelora" adalah sebuah kisah yang mengupas selok belok mengembangkan  perniagaan mengikut kaedah dan peraturan di Malaysia. Isu seperti Pengarah Syarikat, Pemegang Saham, Setiausaha Syarikat, akaun, kewangan, peraturan, kewajipan, liabiliti, hak dan undang-undang syarikat diadun dalam cerita.

BAHTERA KORPORAT adalah lanjutan kisah ANTARA KITA mengenai liku-liku yang terpaksa dihadapi oleh ZEIN TAHAR dan ALI SHAH selepas perniagaan mereka berjaya mencecah beberapa tahun.  Cerita ini memaparkan isu-isu perniagaan dan korporat yang lebih kompleks dan turut disuntik dengan elemen-elemen konflik personaliti kedua watak yang menjurus kepada konflik perniagaan mereka.

Melalui pendekatan cerita yang turut menyuntik elemen pencetusan minda (brainstorming), tip dan kaedah menyelesai sesuatu perkara, anda boleh menjadikan ianya satu refleksi perjalanan perniagaan anda sendiri dan mungkin juga inspirasi buat anda untuk menghadapi segala karenah dan mehnah perniagaan anda dengan sebaiknya.














ANDA SEPERTI ZEIN TAHAR ATAU ALI SHAH ? 

Bagi peniaga dan usahawan yang sudah mahir dengan selok belok korporat dan kewangan samada mereka Pengarah Syarikat, Pemegang Saham atau di posisi sebagai Pengarah Urusan (Managing Director) ataupun Chief Executive Officer (CEO) anda mungkin boleh merefleksikan watak ZEIN TAHAR dengan anda.

Bagi peniaga dan usahawan yang memikul tanggungjawab sepenuhnya menyelia dan menyelaras operasi syarikat atau di posisi sebagai Pengurus ataupun Chief Operating Officer (COO) anda mungkin boleh merefleksikan watak ALI SHAH dengan anda.

Melalui watak-watak ZEIN TAHAR dan AI SHAH anda boleh mengenal sikap, tindakan dan peribadi terbaik yang boleh anda teladani seandainya anda menghadapi konflik dan isu-isu perniagaan yang serupa dalam hidup anda.

KELEBIHAN MEMAHAMI ILMU PERNIAGAAN,KORPORAT DAN KEWANGAN

Hal ehwal korporat dan kewangan adalah di antara ruang-ruang kelabu (grey areas) dan 'terselindung' dalam dunia korporat dan perniagaan tetapi boleh memberi impak yang ketara (significant) kepada perniagaan dan pemiliknya.
Mereka yang pandai memanipulasi ruang-ruang terselindung ini mungkin mendapat habuan yang besar. Sebaliknya bagi mereka yang tidak pandai mempergunakannya,  ianya boleh menjadi satu 'kekejaman' atau 'penindasan' . Kondisi ini dipaparkan dalam BAHTERA KORPORAT melalui watak-watak ZEIN TAHAR dan ALI SHAH.

Peniaga dan usahawan yang tidak tahu atau tidak mahu ambil tahu hal korporat dan kewangan berisiko kehilangan segala hak malah keseluruhan  perniagaan yang mereka bina.

Hakikatnya samada anda tahu atau tidak mengenai peraturan syarikat, anda tetap terikat dengan peraturan dan undang-undang khususnya berkaitan kewangan dan akaun perniagaan yang dikawalselia oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) melalui Akta Cukai Pendapatan 1967. Bagi syarikat, anda terikat juga dengan peraturan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) melalui Akta Syarikat 2016 ( dahulunya Akta Syarikat 1965).
Kewajipan pemilik perniagaan menyimpan dokumen kewangan dan rekod akaun dengan sempurna menjadi tanggungjawab besar yang harus disempurnakan oleh anda selaku peniaga, usahawan dan Pengarah Syarikat. Tanggungjawab ini ditambah lagi dengan pelbagai denda atau penalti bagi yang mengingarinya yang dikenakan oleh LHDNM dan SSM.

Dengan pengetahuan kewangan yang sebaiknya, anda boleh merancang kewangan perniagaan anda dan memastikan anda meminimakan tanggungan-tanggungan wajib khususnya Cukai Pendapatan perniagaan.  Dengan menyimpan rekod akaun dan kewangan yang sebaiknya anda boleh memastikan anda hanya membayar cukai yang sepatutnya tanpa sebarang kenaan cukai tambahan yang boleh dikenakan oleh LHDNM terhadap perniagaan anda sekiranya didapati akaun anda tidak betul dan benar.

Dengan pengetahuan hal ehwal korporat yang sebaiknya, anda tidak perlu bimbang mengenai kenaan denda dan kompaun SSM sebaliknya boleh menumpukan usaha dan tenaga untuk mengembangkan perniagaan anda.

Dengan menghargai struktur korporat atau entiti berasingan, anda boleh memastikan aset peribadi anda terpisah daripada sebarang ancaman sekiranya syarikat anda disaman atau dibubarkan.

Dengan mengetahui hak anda sebagai pelabur atau pemegang saham syarikat, anda boleh peka dengan pengurusan kewangan syarikat anda yang dimanahkan kepada Lembaga Pengarah syarikat anda.

Dengan memilih Setiausaha Syarikat yang berpengalaman dan berpengetahuan, anda boleh mempergunakan pendapat mereka untuk mencari jalan menyelesaikan pelbagai permasalahan perniagaan dan korporat yang anda hadapi.


MENJAMBATANKAN (BRIDGING) ILMU DAN KEMANUSIAAN

Siri "BAHTERA KORPORAT" dibangunkan dengan tujuan agar menjadi satu medium pembelajaran dan latihan minda dan intellectual buat usahawan, pengarah syarikat, eksekutif, professional dan pelajar khususnya di Malaysia.

Coretan awal kisah " BAHTERA KORPORAT " adalah berinspirasikan kisah sebenar yang tercetus dalam perjalanan perniagaan para usahawan dan pengarah-pengarah syarikat di Malaysia. Manuskrip asalnya dibangunkan pada tahun 2006 dan dari masa ke semasa ianya dipertingkatkan mengikut peredaran dan keperluan perundangan dan peraturan perniagaan semasa. Walaupun matlamat asal menjadikannya drama bersiri untuk melatih para usahawan Bumiputera di Malaysia, tetapi dengan berpengaruhnya teknologi internet di zaman ini, versi docudrama dianggap paling sesuai.

Melalui penghayatan watak, pola pikir, nilai dan etika yang sebaiknya yang disuntik dalam perjalanan cerita, para penonton boleh memahami peraturan, kaedah, teknik dan menjangka (anticipate) implikasi tindakan seseorang dalam mentadbir perniagaannya sendiri. 

Peniaga dan usahawan yang tidak tahu atau cakna (tidak mahu ambil tahu) hal peraturan dan kewangan berisiko kehilangan segala hak malah keseluruhan  perniagaan yang mereka bina apabila terjebak dengan pelbagai permasalahan yang timbul.

Realitinya, sikap dan tindakan anda dalam menguruskan perniagaan, tercetus daripada niat dan personaliti sebenar diri. Personaliti yang positif perlu agar anda dapat mengemudi dan mendepani konflik serta tribulasi dan terus meluncurkan bahtera perniagaan anda kehadapan.

Mengenai projek MYCO Bisnes : Undang-undang perniagaan  di Malaysia tidak mewajibkan seseorang peniaga mempunyai kelayakan akademik yang khusus. Sesiapa sahaja dari latarbelakang manapun boleh mendaftarkan perniagaan dan boleh menjadi Pengarah Syarikat asalkan  berumur 18 tahun ke atas dan bukan seorang yang bankrup.  MYCO membahas dan mengupas isu-isu berkaitan perniagaan dan korporat khususnya di Malaysia dan menerbitkan bahan-bahan yang diolah dalam pelbagai bentuk seperti video maklumat dan dokumentari drama ( dokudrama) yang boleh ditonton bagi tujuan pembelajaran  sendiri (self learning) dan latihan.  Pendedahan ini dapat membantu menambahkan ilmu dan maklumat bagi  peniaga, pengarah syarikat, pemegang saham syarikat malah golongan pelajar. Ilmu yang terbaik membantu anda membuat keputusan yang terbaik seperti memposisikan diri sebagai pemilik, Pengarah syarikat, pemegang saham, CEO, mengawal kewangan, mengeluarkan dividen, tanggungan dan banyak lagi yang harus anda terokai sebagai seorang peniaga.

Penafian : Segala kandungan di laman web mycoi.com.my  berserta bahan-bahan yang diterbitkan melalui projek MYCO Bisnes adalah dibangunkan hasil pengkajian dan penelitian yang sewajarnya berdasarkan pengalaman para penulis, pengkaji dan penerbitnya. Kandungan MYCO disalurkan sebagai wacana ilmu, medium pencetusan minda dan maklumat umum bertujuan menggalakkan (encourage) individu meningkatkan prestasi diri dan sekaligus memajukan perniagaan mereka. Penerbit  tidak menjamin maklumat yang dibentangkan  samada secara tersurat atau tersirat adalah penjelasan muktamad berkaitan dengan sesuatu peraturan atau perundangan perniagaan ataupun solusi (solution) maupun konklusi ( conclusion) kepada sesuatu isu yang dibentangkan . Justeru para pembaca dan penonton harus mendapatkan nasihat daripada pakar dan profesional dalam hal ehwal korporat, perundangan, kewangan dan perniagaan bagi memperjelaskan sesuatu isu yang dihadapinya. Penerbit berhak membuat sebarang pindaan dan/atau perubahan dari masa ke semasa mengikut keperluan dan perubahan peraturan dan undang-undang yang berkaitan. Penerbit  tidak bertanggungjawab terhadap sebarang liabiliti, kehilangan atau kerosakan yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat atau ketepatan maklumat yang dipaparkan.

Pernyataan Hakcipta : Hakcipta laman web mycoi.com.my dan kandungannya yang termasuk maklumat, teks, imej, grafik, fail suara, fail video dan susunannya serta bahan-bahannya  adalah hak Penerbit  dan sekutunya termasuk penulis, penerbit  dan pengarahnya  kecuali dinyatakan sebaliknya. Tiada mana-mana bahagian kandungannya  boleh diubah, disalin, diedar, dihantar semula, disiarkan, dipamerkan, diterbitkan, dilesenkan, dipindah, dijual atau diuruskan bagi tujuan komersil dalam apa bentuk sekalipun tanpa mendapat kebenaran secara bertulis terlebih dahulu daripada Penerbit. Sebarang pertanyaan dan kemusykilan boleh disalurkan ke email info@mycoi.com.my.



Centric Asia Media 2020