KITA SUDAH NEKAD UNTUK BERNIAGA.

Kita bergelar peniaga, ahli perniagaan, usahawan ataupun Pengarah Syarikat. Siapa sahaja kita pada awalnya, samada seorang profesional, ahli akademik, kerani, guru agama, penganggur maupun hanya berkelulusan SPM kita berhak menceburi dunia perniagaan bagi meraih rezeki kita di muka bumi ini yang tersedia buat umat manusia.
Kita yakin kita mampu berusaha, mampu mengharungi likunya, mampu menimba segala ilmu pengetahuan yang diperlukan untuk memperlengkapkan diri kita menjadi usahawan, ahli perniagaan, Pengarah Syarikat, Pelabur, Pemegang Saham, ahli korporat ataupun konglomerat.
Kita anggap perniagaan satu arena yang tiada sempadan, tiada batasan, penuh dengan persaingan dan risiko.  Kita lah aktivisnya dan mungkin di masa depan menjadi pemainnya (player). Kita yang bikin peraturan, polisi dan menyimpan rekodnya. Kita yang tetapkan  samada ianya terus membesar atau mengecil.

Kita ada pilihan platfom untuk lancarkan pelan perniagaan kita.  Samada kita beraksi sebagai  Perniagaan Tunggal (Sole Proprietorship), Perkongsian (Partnership) atau syarikat 'Sdn Bhd', kita sudah melangkah ke fasa lain yang lebih mencabar dalam hidup kita.

Hakikatnya sebagai pemilik perniagaan kita berada di dua persimpangan; berjaya atau gagal. 

Di Malaysia, perniagaan skala kecil dan sederhana mungkin mempergunakan platfom sebagai  PENIAGA TUNGGAL atau PERKONGSIAN kerana kedua-dua entiti ini kurang peraturan dan pemantauan khususnya oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Perniagaan Tunggal dan Perkongsian dianggap platfom yang 'tidak terpelihara' atau "unprotective"  kerana boleh mengheret harta-harta peribadi pemiliknya sekiranya berlaku sebarang tindakan undang-undang.
Sekiranya kita jadi pemilik Perniagaan Tunggal atau Perkongsian, kita terpaksa tanggung  segala risiko dan liabiliti perniagaan termasuk Cukai Pendapatan atas kapasiti diri sendiri selaku individu.  Alternatifnya kita boleh juga pilih untuk daftarkan sebuah SYARIKAT "Sendirian Berhad" kerana kelebihannya dari sudut undang-udang. 

'Syarikat' adalah entiti perniagaan yang berasingan dengan pemiliknya. Sebuah 'Syarikat' dilingkungi pelbagai peraturan yang tersendiri  dan perlu patuhi piawaian dalam hal-ehwal korporat, akaun, kewangan yang dipantau khususnya oleh SSM dan LHDN.

Kita boleh berniaga atas nama 'Syarikat' dan syarikat ini juga perlu membayar Cukai Pendapatan syarikat sekiranya untung kelak. 

Dengan terdaftarnya syarikat, kita  sebenarnya telah wujudkan 'orang baru' dibawah undang-undang syarikat. 'Orang' ini diberi nama (iaitu nama syarikat ) dan berupaya untuk lakukan pelbagai transaksi perdagangan antaranya miliki harta dan wang, jual dan beli aset, saman dan disaman oleh pihak lain. 

Pemilik Syarikat sebenarnya mengangkat diri mereka sendiri sebagai PENGARAH SYARIKAT maupun PEMEGANG SAHAMnya.

Peraturan syarikat (company regulations) dan dokumentasi korporatnya (corporate documentation) mungkin dipandang rumit (complicated) dan membebankan.  Tetapi dengan platfom syarikat, kita telah pisahkan risiko(risk)  dan tanggungan (liability) perniagaan kita daripada aset atau harta peribadi kita.

Pada dasarnya sekiranya berlaku sebarang tuntutan undang-undang terhadap syarikat, maka syarikatlah yang perlu menanggung sebarang kos kerugian. Aset-aset peribadi Pemilik dan Pengarah syarikat terlindung daripada sebarang hutang syarikat kecuali dalam keadaan-keadaan khas seperti berlakunya penipuan dan sebagainya.  

Apa saja entiti perniagaan yang kita pilih, samada berseorangan ataupun bersama RAKAN KONGSI, kita perlu membuat persediaan menghadapi fasa baru perjalanan hidup kita  iaitu DUNIA PERNIAGAAN  atau mungkin juga boleh dipanggil  DUNIA KORPORAT.

Kini kita sudah ada platform perniagaan dan ada pelan yang bagus untuk melancarkannya. Seterusya kita perlukan MODAL untuk melaksanakan projek tersebut, atau kita mungkin perlu modal tambahan untuk mengembangkan perniagaan yang sedia ada.  Kita punyai wang simpanan kita sendiri atau wang yang dipinjamkan oleh keluarga kepada kita.  Kita punyai rakan-rakan yang sanggup untuk melaburkan wang mereka dalam projek kita kerana mereka yakin dengan kita. 

Pelbagai pihak berpotensi menjadi rakan kongsi kita. Haruskah kita terima semua pelawaan mereka atau patutkah kita memulakannya dengan sendirian ?


Kita punyai  produk atau perkhidmatan yang  baik dan hebat. Kita perlu pastikan  kenalan, saudara mara,  pelanggan dan bakal pelanggan kita tahu mengenai keberadaan produk atau perkhidmatan kita.
 
Kita mahu beri tahu kepada masyarakat akan kualiti dan kebaikan produk kita. Kita mahu  para pembeli   bangga memiliki produk kita,  Kita mahu pelanggan menceritakan kepada orang lain segala kehebatan produk kita. Bagaimana menyebarkan dan beri tahu orang ramai mengenai produk kita?

Kita sudah sekian lama bangunkan  syarikat dan kembangkan perniagaan. Kitalah pengasas dan penerajunya.  Kita kini dikelilingi rakan pengarah , rakan kongsi, pemegang saham, para pelabur.  Mereka  yang labur wang dalam syarikat kita sentiasa mengharap dapat pulangan yang baik dari perniagaan kita. Sesekali kita tertekan dengan desakan dan pelbagai pertanyaan mereka.  

Pemegang Saham punyai hak di sisi undang-undang untuk mendapat pulangan dari pelaburan saham mereka sekiranya ada untung. Mereka ada hak bersuara terhadap pengurusan syarikat dan hak mengundi atas keputusan syarikat.

Pengurusan syarikat dan Lembaga Pengarah syarikat tentunya rasa seperti dikekang dengan permintaan (demand) Pemegang Saham, Pelabur dan Peminjam. Kita perlu mengimbangi dan mengawal keadaan ini.

Kebanyakan perniagaan perlu masa untuk berjalan dengan baik dan stabil, dalam maksud lain mendapat untung atau balik modal. Perniagaan turut terikat dengan faktor kejatuhan ekonomi, polisi kerajaan, pasaran tenaga kerja, kemampuan membeli dan banyak lagi. Untung jangka pendek tidak sepatutnya menjadi cita-cita para Pemegang Saham syarikat.  


Undang-undang korporat di Malaysia mempunyai rangka dan struktur yang meluas dan hampir setara dengan perundangan syarikat "limited companies", "Inc" atau 'corporation' di negara-negara lain umpamanya United Kingdom, Amerika, Australia , Brunei, Singapura.

Syarikat Malaysia punyai  amalan-amalan perdagangan dan korporat (commercial and corporate practices) yang hampir setara dengan amalan organisasi syarikat perniagaan di negara lain.

Kita percaya dan yakin walau apapun peraturan, kod etika  yang tersurat dalam pelbagai piawaian dan undang-undang namun "human factor" atau sentuhan peribadi dan kepimpinan (leadership) kita selaku pemilik dan peneraju perniagaan akhirnya yang menentukan kelangsungan perniagaan kita. 

Tatkala perniagaan kita kian berkembang , ini juga bermakna kita dan pasukan kita kian hari kian bagus.
Masa menentukan kita peroleh segala pengalaman dalam segala aspek perniagaan termasuk jatuh dan bangun, kekangan kewangan, kejatuhan jualan malah konflik pengurusan.

Syarikat Malaysia boleh saja kompetitif dan tersedia bersaing dengan pelbagai syarikat antarabangsa. Kelebihan ini tidak menghalang pengurusan syarikat  membawa perniagaan mereka menjamah kekayaan ekonomi negara luar; malah boleh menguasai syarikat-syarikat luar negara sekiranya mampu.

Andainya kita masih berdiri selepas setiap dugaan dan cobaan itu petanda baik kita sedang matang atau mahir dalam perniagaan. Andai kita berundur, segala usaha dan cita-cita kita akan terbenam di situ sahaja.

Dengan mempergunakan platfom perniagaan, kita terus saja menerajui perniagaan kita dengan cekap, bijak dan tabah.  Kita bina diri kita dengan ciri-ciri usahawan yang kental. Kita bentuk minda kita dengan cara fikir yang positif dan analitikal. 

Kita simpan semangat kental terus maju malah tidak takut bersaing dengan sesiapa sahaja.  Kita sudah yakin dengan keupayaan, ilmu dan pengalaman. 

Kita sudah boleh sekurangnya menafsirkan pelbagai perkara yang kritikal dalam perniagaan umpamanya  kewangan, pengeluaran, korporat, pemasaran dan sebagainya.  Kita sudah kenal antara peluang yang boleh digembeling dengan impian yang hanya akan hancur di tengah jalan. Kita tidak akan bergopoh gapah melabur dalam sesuatu yang baru tanpa memperhitungkan baik buruknya.
Kita sudah boleh melihat sesuatu isu, perkara dan fakta dari pelbagai persepi berbanding dengan orang kebiasaan.  Sekilas ikan di laut sudah tahu jantan betinanya.  Di tahap ini kita sebenarnya sudah berjaya membentuk diri kita untuk menjadi pemimpin atau peneraju perniagaan.

Begitulah gambaran tahap kecekapan para Pimpinan Perniagaan dalam bidang mereka yang perlu dicontohi. Mereka punyai visi yang jauh untuk perniagaan mereka. Mereka menggerakkan seluruh organisasi mengikut misinya.

Selaku Pimpinan Perniagaan  kita telus dan boleh menjawab pelbagai persoalan yang timbul. Kita sentiasa bersedia hadapi cabaran dan dugaan yang mendatang demi meneruskan segala usaha dan perancangan perniagaan. Kita tidak boleh mudah menyerah kalah. Kita tidak lemah dengan sebarang persaingan malah menganggap persaingan sebagai refleksi tahap kemampuan kita. Alang-alang Menyeluk Pekasam Biar Sampai Ke Pangkal Lengan.

Sesuatu perniagaan yang terbaik harus stabil dan mampu menanggung kos keberadaannya. Ini termasuklah membiayai kos  kewujudannya atau kos hal-ehwal korporat dan kos tenaga kerjanya. 

Sesuatu perniagaan belum dianggap kukuh dengan aset yang banyak tetapi tanggungannya juga sama banyak. Perniagaan belum kukuh sekiranya aliran keluar masuk tenaga kerjanya terlalu kerap. Sesuatu perniagaan tidak lagi kukuh sekiranya jualannya banyak tetapi terus menerus menanggung rugi.

Kita impikan satu perniagaan  yang mampu jana pendapatan yang cukup untuk menampung kos pengurusan dan operasi malah kekalkan modal dan memberi pulangan dividen kepada para Pemegang Saham syarikat kita. Inilah tahap 'sustainability' atau kemampanan yang menjadi matlamat kita selaku Pimpinan Perniagaan. 

Kestabilan sesuatu perniagaan bergantung kepada kemantapan pasukan pengurusannya khususnya ahli-ahli Lembaga Pengarahnya yang merupakan pasukan tertinggi dalam struktur sesebuah syarikat.

Tiada kelulusan minima diperlukan bagi sesiapa yang ingin menceburi dunia perniagaan kecuali sekiranya kita ingin menjadi Pengarah Syarikat.

Pengarah Syarikat di Malaysia umumnya mestilah seorang individu yang berumur 18 tahun ke atas dan bukan seorang yang bankrup. Para peniaga, usahawan dan Pengarah Syarikat di Malaysia memiliki pendidikan yang baik dan mempunyai kelebihan yang tersendiri untuk menerajui perniagaan dan syarikat mereka.  Kelulusan akademik memang dianggap satu kelebihan tetapi bukan jaminan kejayaan dalam dunia perniagaan. Seorang  yang bijak dan cerdas akalnya mampu meraih pembelajaran dan ilmu langsung secara praktikal, pengalaman dan pengkajian sendiri bagi meningkatkan kapasiti dirinya dalam memenuhi tanggungjawabnya sebagai Pimpinan Perniagaan.

Kita sudah melihat ramai orang yang berjaya dalam perniagaan tidak memiliki kelulusan akademik yang tinggi. Kita juga melihat ramai yang gagal dan ramai juga yang masih ragu-ragu untuk menceburi dunia perniagaan. Kita akui terdapat juga orang yang menjoloki dirinya ahli perniagaan tetapi hanya bersandarkan harta peribadi atau pusaka yang sudah tersedia dan bukannya kemampuan diri untuk menerajui sebuah perusahaan.

Hakikatnya untuk terus menjana perniagaan kita ke hadapan kita percaya  pemilik dan Pimpinan Perniagaan perlu memperlengkapkan diri dengan ilmu dan maklumat asas perniagaan yang dianggap kritikal kepada perniagaan.

Pimpinan Perniagaan sentiasa berusaha memperbaiki prestasi perniagaan dan prestasi diri mereka.

Dengan mengekalkan momentum usaha yang berterusan, kita dengan sendirinya memacu perniagaan kita tahap demi tahap.

Sesuatu konflik perniagaan boleh tercetus  hanya dengan perselisehan pendapat antara pengarah dan pemegang saham. Perbezaan cara fikir, gaya pimpinan, salah faham malah salah sangka boleh saja menjadi sebab awal berlakunya sesuatu konflik antara kita dengan rakan kongsi , Pemegang Saham atau pelabur kita.

Pelbagai konflik peribadi dalam perniagaan sekiranya tidak ditangani boleh menyebabkan hancurnya empayar yang dibina. Ia akhirnya boleh menjejaskan keberadaan perniagaan dan syarikat itu sendiri.

Konflik yang lebih buruk boleh saja tercetus kiranya terdapat penyelewengan dan salahlaku dalam pengurusan syarikat, sebaliknya ditutupi atau didiamkan oleh Pimpinan Perniagaan.

Professional korporat seperti  seperti Setiausaha Syarikat, Akauntan, Juruaudit dan Peguam  adalah pihak-pihak yang membantu para Pimpinan Perniagaan dalam menjalankan kewajipan mereka dari sudut-sudut tertentu khususnya yang berhubungkait dengan perundangan syarikat dan percukaian.  Para professional meraih pelbagai pengalaman mengendalikan pelbagai kes, pelbagai pelanggan dan mempunyai pelbagai pengetahuan dan rangkaian.

Selaku Pimpinan Perniagaan kita harus mempergunakan pengalaman, rangkaian dan pengetahuan mereka ini.  Mereka mungkin membantu kita melalui cetusan idea-idea dan mencari solusi bagi menyelesaikan sesuatu krisis dan perkara.

Jalinan perkongsian maklumat dengan para profesional ini khususnya dalam hal ehwal korporat dan kewangan boleh membantu kita merancang strategi dan kewangan perniagaan dengan lebih baik. 


Kita harus berusaha tingkatkan penguasaan ilmu dan maklumat untuk tingkatkan kapasiti dan  kredibiliti  diri selaku Pimpinan Perniagaan. Peningkatan diri kita sekaligus akan  memantapkan tahap pengurusan dan pentadbiran perniagaan kita.

Sesuatu perniagaan dianggap berjaya tatkala ianya dapat  berkembang merentasi sempadan dan lautan negara.  Tahap ini boleh dilihat pada kebolehan pasukan pengurusan perniagaan itu sendiri yang berupaya  mengeksploitasikan peluang, kelebihan dan kekurangan sesuatu perkara dan peraturan bagi mencapai hasrat dan perancangan perniagaan mereka. Pasukan ini terlatih dan berpengalaman.



Kita selaku Pimpinan Perniagaan harus sentiasa berfikiran positif dan berdiri sendiri (independent) dan tidak bersikap terlalu bergantung kepada pekerja ataupun pihak lain walaupun kita yang menggaji mereka.  Kita harus ada kefahaman dan idea kita sendiri terhadap sesuatu isu dan perkara agar kita tidak mudah terpengaruh dengan pendapat pihak lain yang mungkin mempunyai agenda peribadi.

Sikap terbuka, positif dan kebijaksanaan yang ada pada Pemimpin Perniagaan akan meraih penghormatan pekerjanya dan ini akan memotivasikan mereka untuk menuju kearah mencapai visi dan misi perniagaan yang ditetapkan. 

Kita menjalankan perniagaan kerana didorongi pelbagai sebab. Ada di antara kita yang terdorong untuk menjadi kaya, ada yang ingin menonjolkan status unggul menjadi Pengarah dan Pemilik Syarikat. Ada pula yang hanya bercita-cita untuk meraih rezeki halal dan dari sisi lain ada yang menjalankan perniagaan kerana ingin mengeluarkan sesuatu produk atau perkhidmatan yang berguna untuk masyarakat atau dalam maksud lain perniagaan berkebajikan.

Kejayaan sesuatu perniagaan dan syarikat tidak wajar diukur dari sudut kejayaan mengumpul wang yang banyak. 

Syarikat perniagaan yang besar tetapi tidak menyumbang kembali kepada pembinaan masyarakat malah menindas pekerja tidak boleh dianggap berjaya.  Begitu juga sesuatu projek perniagaan yang hanya menguntungkan pemiliknya tetapi menindas atau menipu masyarakat dan pelanggannya tidak boleh dianggap berjaya.

Wang mungkin matlamat jualan tetapi tidak semestinya menjadi matlamat utama sesuatu perniagaan.

Sebaliknya syarikat yang kecil atau sederhana tetapi menyumbang kepada kebajikan pekerja dan manafaat produknya kepada pembangunan masyarakat patut dianggap berjaya dan harus disokong semua pihak. 

Pimpinan Perniagaan harus bijak mengimbangi di antara pengurusan wang ringgit atau kewangan , pengurusan pekerja, pengurusan produktiviti, pemasaran, pengurusan jualan.

Kekuatan  pengurusan sebenarnya melonjakkan dan mengukuhkan jenama perniagaan dan syarikat kita.  Jenama perniagaan yang kukuh adalah satu kebanggaan dan ukuran kejayaan.


Dengan membina Perniagaan, Pimpinan Perniagaan tahu mereka  sebenarnya membangunkan ekonomi  masyarakat  dan turut membangunkan manusia. Mereka merekrut pekerja agar  para siswazah, pelatih dan penganggur  mendapat peluang  menimba pengalaman dan mempraktikkan skil serta pengetahuan.

Perniagaan yang diterajui dengan jayanya memiliki  tahap pengurusan yang mantap di bawah Pimpinan Perniagaan yang berwibawa. Kepimpinan perniagaan yang baik membantu membaikpulih ekonomi diri dan keluarga pemilik dan pekerja perniagaan. Ini adalah sumbangan yang mulia kepada masyarakat dan negara.

Syarikat Malaysia yang berjaya sekaligus memertabatkan syarikat dan perniagaan Malaysia  setara dengan para ahli perniagaan dan korporat antarabangsa. Realitinya kejayaan sesuatu perniagaan adalah kejayaan bersama para pimpinannya dengan para pekerjanya.

Perniagaan kita ibarat bayi. Jika ia dibesarkan sebaiknya, ia boleh menjaga kita di hari tua.

PENAFIAN
Semua kandungan dalam laman web www.mycoi.com.my  dan videonya adalah disediakan sebagai maklumat umum dengan tujuan memperkenalkan siri video MY COMPANY AND I (SAYA DAN SYARIKAT SAYA) . Pihak penerbit  tidak menjamin maklumat yang dibentangkan adalah penjelasan muktamad berkaitan dengan perniagaan dan syarikat khususnya berdasarkan peraturan dan perundangan di MALAYSIA, samada melalui penjelasan atau tersirat, ketepatan, kesempurnaan, sandaran dan kesesuaian maklumat.Oleh itu para pembaca dan penonton harus mendapatkan nasihat daripada pakar-pakar dalam hal ehwal korporat, perundangan dan perniagaan bagi memperjelaskan sesuatu isu yang dihadapinya.
Penerbit berhak membuat sebarang pindaan dan/atau perubahan dari masa ke semasa mengikut keperluan dan perubahan peraturan dan undang-undang yang berkaitan.
Penerbit  tidak bertanggungjawab terhadap sebarang liabiliti, kehilangan atau kerosakan yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat atau ketepatan maklumat yang dipaparkan.

PERNYATAAN HAKCIPTA

Hakcipta laman web   MY COMPANY AND I (SAYA DAN SYARIKAT SAYA) dan kandungannya yang termasuk maklumat, teks, imej, grafik, fail suara, fail video dan susunannya serta bahan-bahannya  adalah hakcipta Penerbit  dan sekutunya termasuk penulis, penerbit  dan pengarahnya  kecuali dinyatakan sebaliknya.
Tiada mana-mana bahagian laman web  ini boleh diubah, disalin, diedar, dihantar semula, disiarkan, dipamerkan, diterbitkan, dilesenkan, dipindah, dijual atau diuruskan bagi tujuan komersil dalam apa bentuk sekalipun tanpa mendapat kebenaran secara bertulis yang jelas terlebih dahulu daripada Penerbit.

KOMUNIKASI
EMAIL :    info@mycoi.com.my

© Q.A.M.S. Corporate Services Sdn Bhd (522420 M). 2018